Skip to main content

Bahasa Melayu — Malay

Tentang demensia

Demensia merupakan sekumpulan gejala berpunca daripada pelbagai kecelaruan otak. Demensia bukan perkara lazim apabila kita lanjut usia, dan bukan sesuatu penyakit tertentu. Demensia sebenarnya istilah luas yang meliputi pelbagai kesan pada diri kita akibat sejumlah masalah perubatan.

Masalah tersebut termasuk penyakit Alzheimer, demensia vaskular, demensia jasad Lewy dan banyak lagi.

Kesan demensia berbeza dari seorang ke seorang, tetapi pada umumnya demensia menjejas perasaan, daya ingatan, daya berfikir dan kelakuan kita.

Demensia dapat terjadi pada sesiapapun, namun lebih lumrah setelah umur 65 tahun.

Di Australia, lebih 421,000 orang mengalami demensia. Demensia punca kematian yang utama bagi wanita, dan punca kedua pada keseluruhannya.

Ada beberapa perkara yang dapat dilakukan bagi mengurangkan risiko demensia.

Buat masa ini tiada ubat yang dapat menyembuhkan demensia, tetapi ada rawatan bagi banyak gejalanya. Ada orang yang mengalami demensia hidup aktif dan penuh bermakna bertahun-tahun setelah diagnosis.

Penyelidik di serata dunia sedang mengusahakan pelbagai rawatan baharu untuk demensia.

Punca demensia

Demensia dapat terjadi pada sesiapapun, namun lebih lumrah setelah umur 65 tahun.

Berbagai-bagai masalah perubatan dapat menyebabkan demensia. Ramai yang mendapat diagnosis demensia tanpa punca sebenar diketahui.

Demensia boleh diwarisi, tetapi ini boleh dikatakan jarang terjadi. Risiko anda bergantung pada punca demensia. Kira-kira sepertiga pesakit Alzheimer mempunyai saudara dekat (ibu bapa atau adik beradik) yang menghidap demensia. Namun, dalam banyak kes, demensia terjadi tanpa sejarah keluarga yang mengalaminya.

Tanda dan gejala demensia

Oleh kerana demensia boleh berpunca daripada berbagai-bagai masalah perubatan, setiap orang mengalami demensia dengan cara tersendiri.

Namun pada umumnya, demensia dapat menjejas:

Daya ingatan

Anda mungkin rasa lebih sukar mengingati peristiwa baharu, nama benda dan nama orang. Juga mungkin semakin sukar mendapat kenangan baharu.

Daya berfikir

Anda mungkin semakin bingung, sukar tumpukan perhatian, merancang dan menyelesaikan masalah, sukar menamatkan tugas harian, sukar memikirkan perkataan yang tepat atau memberi pendapat, sukar mengagak jarak, arah dan masa.

Perasaan

Anda mungkin rasa kurang bersemangat, kurang suka bergaul, lebih mudah berasa murung, resah gelisah dan cepat marah, atau pada pokoknya tidak seperti anda sebenarnya.

Kelakuan

Anda mungkin mula mengatakan atau melakukan hal-hal yang tidak cocok dengan diri anda. Anda mungkin berasa gelisah dan merayau-rayau, dan tidur anda lebih terganggu.

Jenis-jenis demensia

Jenis-jenis demensia paling lazim termasuk:

Menentukan diagnosis demensia

Tiada satu ujian yang dapat menunjukkan anda mengalami demensia atau tidak.

Doktor akan melakukan beberapa jenis ujian yang berbeza. Keputusan ujian-ujian ini membantu mereka mengetepikan beberapa masalah perubatan tertentu, dan mula merungkai apa yang menyebabkan perubahan pada diri anda.

Jika tiada yang serius, anda dapat bertenang.

Jika sebenarnya masalah lain, bukan demensia, anda dapat memulakan rawatan.

Jika mendapat diagnosis demensia, lebih cepat anda tahu, lebih banyak dapat dilakukan.

Perkembangan demensia

Setiap orang mengalami demensia secara berbeza-beza. Gejala berubah dengan cara unik bagi setiap orang. Ada hari yang lebih nyaman, ada hari yang lebih sukar.

Namun, demensia masalah perubatan yang berkembang. Ertinya, gejala anda lambat laun menjadi semakin ketara. Hal ini mungkin terjadi dengan cepat, atau memakan masa beberapa tahun.

Kita dapat memikirkan demensia sebagai tiga peringkat.

Demensia peringkat awal

Dalam demensia ringan atau peringkat awal, anda mungkin mengalami beberapa perubahan daya berfikir dan ingatan.

Anda mungkin kadangkala mengulangi apa yang sudah dikatakan, mencampur aduk perkataan, atau terlupa barang lebih kerap daripada dahulu.

Anda mungkin lebih kesulitan dalam situasi pergaulan, atau rasa kurang bersemangat.

Tetapi kebanyakan yang mengalami demensia peringkat awal mampu hidup sendiri. Bahkan, ramai orang di peringkat awal ini tidak mendapat diagnosis demensia, kerana perubahan diri mereka tidak cukup membimbangkan sehingga mereka perlu diuji.

Demensia peringkat pertengahan

Dalam demensia sederhana atau peringkat pertengahan, perubahan perasaan, daya ingatan, daya berfikir dan kelakuan semakin ketara. Kesannya lebih besar atas kemampuan anda melakukan hal-hal seharian dan mengurus diri sendiri.

Anda mungkin lebih susah menumpukan perhatian, memahami, menaakul dan berkomunikasi. Anda mungkin lupa cara memakai pakaian atau mandi, atau mengenali saudara mara dan sahabat handai.

Anda mungkin mengalami kebingungan, cemas, perubahan perasaan dan dorongan kekerasan.

Perubahan lebih ketara ini bererti anda besar kemungkinan perlu sokongan orang lain, di rumah dan dalam masyarakat.

Demensia peringkat lewat

Dalam demensia teruk atau peringkat lewat, gejalanya sangat ketara. Anda mungkin tidak dapat berkomunikasi, berjalan, mengawal fungsi tubuh atau mengurus kebersihan diri sendiri. Anda mungkin tidak ingat orang atau tempat, dan tidak dapat membentuk kenangan baharu.

Di peringkat ini, anda perlukan pengawasan dan penjagaan sepanjang masa. Anda mungkin perlu tinggal di kemudahan penjagaan warga emas, untuk mendapat penjagaan profesional yang diperlukan.

Rawatan dan pengurusan demensia

Buat masa ini, belum ada ubat yang diketahui dapat menyembuhkan demensia.

Namun ada rawatan dan khidmat sokongan untuk memastikan kualiti hidup sebaik mungkin sambil anda meneruskan hidup dengan masalah ini.

Juga ada hal-hal yang anda dan orang sekeliling dapat lakukan supaya anda dapat hidup sebaik mungkin.

  • Rawatan dan pengurusan demensia
  • Hidup dengan demensia

Sokongan

National Dementia Helpline menyediakan penerangan, nasihat dan sokongan percuma dan sulit, 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, 365 hari setahun. Tiada masalah yang terlalu besar, tiada soalan terlalu remeh.

Hubungi Helpline 1800 100 500, helpline@demensia.org.au atau demensia.org.au/helpline.

Share or print
Last updated
17 April 2024